Assalamualaikum semua,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan rasa syukur ke hadrat ilahi kerana memudahkan saya untuk mewujudkan laman web saya sendiri. Tujuan saya mewujudkan laman web ini adalah untuk saya bersama-sama kongsikan hasil kerja saya semasa PdP dan pengalaman saya di sekolah. Saya juga seorang guru baharu. Masih banyak yang saya nak belajar dan kejar. Saya fikir inilah akan menjadi bukti/ bakti saya untuk akhirat nanti.
Berbalik kepada tajuk saya hari ini. Hari ini saya nak kongsikan kepada semua pembaca tentang bagaimana saya belajar tentang kelas abad ke-21 ini. Bagi cikgu baharu sudah tentu tidak boleh lari daripada menjadi guru kelas. Saya terpilih untuk menjadi guru kelas tingkatan 1 di sekolah saya. Menjadi guru kelas ini terutama tingkatan 1 sangat mencabar dan memenatkan ye…. tapi apa boleh buat, kita memilih kerjaya untuk menjadi guru, jadi kita kena tunjukkan diri kita yang terbaik. hehe
Semasa sesi awal persekolahan pada bulan Mac dahulu, setiap guru tingkatan akan menerima borang senarai semak kelas abad ke-21 daripada PK HEM. Borang ini ialah borang adalah untuk panduan guru-guru menghias kelas mereka selaras dengan abad ke-21. Saya antara guru yang gelabah melihat susun atur abad ke-21 di Google. Secara jujurnya saya dah masuk 3 kali tukar kedudukan meja dan kerusi kerana saya tengok sikap anak-anak murid saya sendiri semasa belajar. Ada yang tidak selesa, bila mereka tidak selesa, fokus mereka akan hilang dan mula bersembang dengan kawan sebelah. Pada awalnya saya marah, tapi saya tengok dari sudut lain juga. Mereka bising mungkin hilang fokus sebab tak selesa. Jadi kita kena atasi masalah ini dan tengok lagi sekali sikap mereka semasa PdP. (hanya pandangan peribadi.)
Saya akan senaraikan kelebihan dan kekurangan susun atur yang saya buat sebelum ini untuk rujukan para guru ya. Semoga menjadi panduan buat semua. Kelas saya ini seramai 28 orang murid.
SUSUN ATUR KELAS ABAD KE-21
- PERTAMA

Credit Cikgu Hailmi.
KELEBIHAN:
- Mudah untuk pelajar menjalankan aktiviti berkumpulan bersama-sama.
- Ruang aktiviti yang luas senang untuk membuat pembentangan.
- Sesuai untuk 28-33 orang pelajar.
- Guru senang memantau.
KELEMAHAN:
- Murid-murid tidak selesa semasa menyalin nota/kerja kerana harus memandang papan putih dari arah kiri/ kanan dalam tempoh masa yang lama.
- Kekerapan pelajar membuat bising.
- Pelajar belakang akan sukar melihat papan putih.
- Ruang aktiviti memakan ruang yang banyak (Tidak sesuai untuk kelas yang mempunyai papan putih yang kecil.
2. KEDUA

KELEBIHAN:
- Komunikasi murid boleh datang daripada pelbagai hala.
- Murid cemerlang boleh membantu murid yang lemah.
- Guru mudah untuk memantau.
KELEMAHAN:
- Murid akan kerap bercakap kerana mereka mudah untuk berkomunikasi.
- Murid-murid tidak selesa semasa menyalin nota/kerja kerana harus memandang papan putih dari arah kiri/ kanan dalam tempoh masa yang lama.
- Sukar untuk menjalankan kerja kumpulan.
3. KETIGA
Ketiga ini ialah susun atur yang saya masih guna sampai sekarang.

KELEBIHAN:
- Pelajar yang duduk dalam kerusi warna biru (Pelajar cemerlang) boleh bantu pelajar sederhana dan lemah kiri dan kanan.
- Mudah untuk menjalankan kerja kumpulan. 1 kumpulan ada 6 ahli.
- Sesuai untuk kelas yang mempunyai lebih 30 orang murid.
- Mudah untuk santai/ baring-baring sambil buat kerja kumpulan. (Murid lebih selesa) (dengan syarat kena ada tikar getah hehe)
- Tiada alasan sakit leher kerana semua posisi menghadap pada papan putih.
- Pelajar boleh menggunakan ruang santai dan aktiviti untuk menyiapkan kerja kumpulan.
KELEMAHAN:
- Guru harus membuka kasut semasa mengajar kerana zon tersebut pelajar sering gunakan untuk membuat kerja kumpulan.
- Hampir tiada kelemahan setakat ini.
Susun atur yang ketiga ini merupakan susun atur yang terbaik setakat ini bagi saya. Murid-murid saya lebih selesa berbanding susun atur sebelum ini. Kalau bagi kerja kumpulan mereka akan berkumpul di ruangan tikar getah sebab boleh duduk dengan selesa dan berbincang. Berbanding sikap mereka sebelum ini boleh nampak 70% perubahan sikap. Mereka tambah bersemangat bila hasil kerja mereka semua saya tampal di dinding kelas. Masing-masing akan berlumba untuk tunjuk hasil kerja mereka yang terbaik. Seterusnya, untuk keceriaan kelas. Saya mempunyai senarai semak yang membantu saya untuk menceriakan kelas. Fokus kepada 5 aspek. Senarai semak boleh muat turun DI SINI.
- Fizikal
- Sosial
- Emosi
- Sudut Eksplorasi Intelektual
- Tool Kits
Masih banyak lagi yang saya perlu ada di dalam kelas saya. Masih mengumpul duit sumbangan ibu bapa untuk menjadikan kelas abad ke-21. Hehe. Baiklah, Itu sahaja perkongsian saya pada pagi ini. Saya akan sertakan beberapa lampiran gambar kelas saya. Walaupun kelas saya masih tidak memenangi kelas terbersih dan ceria mingguan, saya akan pastikan kelas saya dapat rasa sekali pingat tersebut huhuhu. Semoga memberikan inspirasi buat semua pembaca. Saya juga masih belajar.
LAMPIRAN:






Sekian sahaja perkongsian saya pada hari ini. Terima kasih.

Leave a comment